Dua Tahun Selepas Hari Langit Tersayat...
Dunia kini telah berubah menjadi ladang darah dan dendam. Dan di tengah-tengah segala kebinasaan, satu nama terus bergema, bagai nyanyian maut yang ditiup angin padang gurun:
"Jackman the Butcher."
Dulu dia hanya seorang yang terselamat. Kini dia adalah mimpi buruk dalam dunia yang tidak lagi punya belas kasihan. Musuh-musuhnya tidak mati dengan biasa—mereka dihiris, dibelah, dilapah… hingga ada yang tinggal kulit sahaja, kosong… seperti kekosongan dalam hati Jackman yang tak pernah terisi.
Cerita tentangnya tidak habis-habis.
Dalam satu kisah, dia membunuh seekor cicak mutasi gergasi yang boleh menggandakan dirinya dan menyembur racun dari air liur. Dalam masa 3 minit, Jackman mencincang semua klonnya—dan mengunyah jantung makhluk asal itu, seperti mengunyah kebencian dalam jiwanya.
Tapi kisah paling gelap adalah ini—Jackman membunuh seluruh kumpulannya sendiri.
Alasannya mudah:
"Mereka lemah. Dan dunia ini tak perlukan kelemahan lagi."
Namun dunia ini selalu punya cara untuk memberi cabaran baru.
Pada suatu hari yang kelam, Jackman bertemu lawan yang tidak pernah dia jangka—seorang lelaki yang wajahnya tampak biasa, tenang, hampir tidak mengancam… tetapi dalam sekelip mata, dia mengimbangi segala gerakan Jackman. Dia meniru kelajuan, teknik, gaya bertarung Jackman sendiri—seolah-olah telah bertahun mengenali cara Jackman bernafas.
Mereka bertarung selama 3 hari tanpa henti.
Tanpa tidur. Tanpa makan.
Dan buat kali pertama… Jackman kalah.
Kerana terlalu angkuh, kerana terlalu yakin bahawa dunia ini telah tunduk padanya.
Nama lawannya naik seperti bara api menyambar dunia.
Dia digelar:
"Willman The Copyman."
Seorang pemburu Awaken Soul Poster yang mampu meniru semua cara bertarung lawannya—bukan sekadar gaya, tetapi niat, rasa, dan gerakan jiwa.
Nilai kepala Willman naik mendadak—1 Bilion Kristal.
Berjuta-juta pemburu, tentera, pembunuh dan orang tamak datang mencuba nasib untuk membunuhnya.
Seminggu.
Itu sahaja masa yang Willman perlukan untuk membunuh kesemuanya… seorang demi seorang. Tiada bantuan. Tiada belas kasihan.
Selepas itu, Willman mendaki ke sebuah gunung yang terpencil. Di dalam sebuah gua kecil, dia menancapkan pedangnya di hadapan sebuah batu besar yang bentuknya seperti takhta dewa yang lama ditinggalkan.
Dia duduk.
Dia pejamkan mata.
Dan dia… menghembuskan nafas terakhir.
Dengan itu, kontrak dengan Iblis di dalam pedang itu tamat.
Pedang itu… kini tidak bertuan. Ia menunggu—diam dan senyap—untuk jiwa yang cukup kuat untuk menghidupkan legasi Willman semula.
Dunia perlahan-lahan kembali membangun. Teknologi mula pulih. Harapan perlahan-lahan tumbuh di celah-celah mayat dan sejarah yang dilupakan.
Dan pada satu hari…
Seorang bayi lahir.
Oliver Wendell.
Pedang itu… terasa bergetar. Seolah-olah telah menemui denyutan yang selama ini ia tunggu.
"Dia… hampir sekuat Willman. Bahkan, mungkin lebih."
Dan takdir mula bergerak.